Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

FESTIVAL DAN WACANA PONDOK NEGERI KEDAH 2026 ANGKAT PERANAN INSTITUSI PONDOK DALAM PEMBANGUNAN UMMAH

MERGONG, 13 NOVEMBER 2026 – Institusi pondok terus memainkan peranan penting dalam memelihara tradisi keilmuan Islam, membentuk akhlak serta melahirkan generasi yang memahami dan menghayati ajaran Islam.

Sehubungan itu, Festival dan Wacana Pondok Negeri Kedah 2026 telah berlangsung di Kompleks Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Mergong, sebagai usaha mengangkat peranan institusi pondok dalam pembangunan pendidikan dan ummah.

Majlis perasmian festival tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Ustaz Mohd Azam bin Abd Samat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah.

Turut hadir ialah YB Dzowahir Ab Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah; Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK serta Profesor Madya Dr. Muhammad Noor Habibi Haji Long, Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah (PUK).

Antara pengisian utama festival ialah sesi Wacana Pondok yang menampilkan Prof. Madya Dr. Azmi Arifin, Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), bersama barisan panel jemputan bagi membincangkan peranan, cabaran dan masa depan institusi pondok dalam mendepani perubahan zaman.

Penganjuran festival ini mencerminkan kepentingan memelihara institusi pondok sebagai warisan pendidikan Islam yang bukan sahaja menjadi wadah penyebaran ilmu agama, malah berperanan dalam pembentukan sahsiah dan pembangunan masyarakat.

Bagi LZNK, usaha memperkasa institusi pondok bukan sekadar memastikan warisan tersebut terus dipelihara, tetapi turut menjamin kesinambungan tradisi keilmuan Islam agar terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.