LZNK – Portal Rasmi

Jenis-jenis zakat

Zakat Padi

PENGENALAN

Zakat yang diwajibkan ke atas tanaman yang menjadi makanan asasi yang mengenyangkan bagi penduduk di sesebuah negeri.

Bagi penduduk di Malaysia, oleh kerana makanan asasinya adalah nasi dan nasi dihasilkan daripada padi, maka zakat tanaman yang sesuai dikeluarkan bagi negara Malaysia adalah zakat tanaman padi.

Definisi

Zakat yang dikeluarkan ke atas perlaburan saham yang telah genap setahun (haulnya) dan cukup nisabnya.

SYARAT - SYARAT

Syarat-syarat umum wajib zakat adalah terpakai kecuali haul. Adapun perincian bagi syarat milik sempurna dan nisab adalah seperti berikut:

1. Milik Sempurna

Zakat tanaman wajib dikeluarkan oleh pemilik tanaman tersebut. Sekiranya dua pihak berkongsi dalam mengusahakan tanaman, maka hendaklah dinilai siapakah yang menjadi pemilik bagi tanaman tersebut sebagaimana berikut:

a) Seorang memiliki tanah dan mengupah pekerja untuk menanam padi.
Pemilik tanah berkewajipan untuk mengeluarkan zakat tanaman, manakala pekerjanya hanya perlu mengeluarkan zakat ke atas upahnya jika mencapai nisab zakat pendapatan.

b) Seseorang memiliki tanah dan disewakan tanah tersebut kepada pihak lain untuk menanam padi. Zakat tanaman wajib dikeluarkan oleh pengusaha tanaman padi, manakala pemilik tanah hanya perl mengeluarkan zakat pendapatan al-Mustaghallat.

c) Dua orang berkongsi mengusahakan tanaman padi. Satu pihak mengeluarkan modal manakala satu pihak lagi mengeluarkan tenaga sahaja tanpa modal. Zakat tanaman diwajibkan kepada kedua-dua pihak secara perkongsian.

KADAR & PENGIRAAN

Nisab Zakat Padi

Nisab Zakat Padi ialah hasil padi bagi setiap tuaian mencapai kepada :

5 Ausuk bersamaan 2 kunca 2 nalih 6 gantang 1 cupak 2 kepul atau 1,300.49 Kilogram

Kaedah Kiraan Zakat Padi Dengan 3 Kaedah:

Kaedah A
(tanpa tolakan)
Kadar 10%
“..Penanaman hanya menggunakan air hujan, sungai, parit yang tersedia tanpa perlu usaha dan bersusah payah untuk mengairi tapak bendang..”

Contoh kiraan : Jumlah Hasil Jualan + Subsidi + Lain-lain insentif: RM2,000.00

Kadar zakat : 10%

Jumlah zakat yang dikenakan: RM 200.00
Kaedah B
(tanpa tolakan)
Kadar 1/20 = 5%
“..Penanaman yang perlu menanggung kos-kos lain termasuk bersusah payah sendiri mengairi tapak bendang dengan pun melibatkan perbelanjaan yang banyak..” maka adalah zakatnya setengah daripada se per sepuluh (nisf al-‘usyr) … ”

Contoh kiraan : Jumlah Hasil Hasil Jualan + Subsidi + Lain-lain insentif : RM2,000.00

Kadar zakat : 5%

Jumlah zakat yang dikenakan: RM100.00
Kaedah C
(tanpa tolakan)
Kadar ¾ daripada 1/10 = 7.5%
“..Penanaman yang menggunakan kedua-dua kaedah iaitu mengusahakan tapak bendang dengan air yang mengalir tanpa bersusah payah tetapi terpaksa menanggung kos-kos lain..”

Contoh kiraan : Jumlah Hasil Jualan + Subsidi + Lain-lain insentif : RM2,000.00

Kadar zakat : 7.5%

Jumlah zakat yang dikenakan: RM150.00

Zakat Bagi Sawah 2 kali Setahun

Bagi Petani yang mengusahakan sawah 2 kali setahun, maka diwajibkan zakat jika cukup nisabnya bagi setiap tuaian, jika tidak hendaklah dicampurkan kepada hasil tuaian musim kedua untuk dikira.

FAQ

Mengikut pandangan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah adalah harus membayar zakat padi dengan menggunakan wang ringgit seperti berikut:

Harus dikeluarkan zakat padi dengan wang yakni dengan menerima harga iaitu berpandu kepada:
1. Fatwa dan amalan Imam Bulqini yang mengharuskan zakat emas dan perak dan zakat perniagaan dengan duit tembaga dan Imam al-Bukhari telah mendahului Imam Bulqini di dalam masalah ini, oleh kerana Imam Bulqini adalah seorang ahli takhrij maka layaklah untuk diikuti (تقليد)
2. Amalan Saidina Muaz Bin Jabal R.A yang pernah memerintah penduduk Yaman supaya mengeluarkan zakat shaa’ir dan jagung dengan pakaian.
3. Atau apabila diperintah oleh sultan supaya dikeluarkan zakat dengan harga barang yang dikenakan zakat itu.

(Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah; 18 Februari 1974)

Kira & Tunaikan Zakat
Saham Sekarang