Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

ENAM MASJID DI DAERAH PADANG TERAP TERIMA PEMBEKALAN FOODBANK MENERUSI WAKALAH AGIHAN ZAKAT SADA

KUALA NERANG, 11 November 2026 – Sebanyak enam buah masjid di daerah Padang Terap menerima pembekalan foodbank menerusi Wakalah Agihan Zakat Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam Program Sentuhan Ummah yang berlangsung di Masjid Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang, hari ini.

Inisiatif ini bertujuan memperluas peranan institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat pengimarahan ibadah, malah sebagai sebahagian daripada jaringan agihan zakat bagi membantu memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Program tersebut turut dihadiri YB Dato’ Haji Mohammad Yusoff @ Munir bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, bersama Dato’ Radzuan bin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SADA dan Dr. Mohd Faisal bin Mustaffa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Selain pelancaran pusat agihan makanan, program berkenaan turut menyaksikan penyerahan bantuan foodbank kepada lima orang penerima serta agihan bantuan pendidikan kepada 10 penerima di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dalam perkembangan sama, rombongan turut meneruskan konvoi bermotor dengan menziarahi lima keluarga asnaf bagi melihat sendiri keadaan dan keperluan mereka.

Kerjasama antara LZNK, SADA dan institusi masjid ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan amanah agihan zakat dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus mendekatkan manfaatnya kepada masyarakat yang memerlukan.

Usaha ini juga memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat kebajikan masyarakat agar manfaat zakat bukan sekadar disalurkan, malah dapat dirasai oleh golongan penerima.