LZNK – Portal Rasmi

Jenis-jenis zakat

Zakat KWSP

Jenis zakat harta yang seterusnya adalah zakat KWSP. Seperti yang anda mungkin sudah sedia maklum, pengeluaran KWSP boleh dilakukan apabila anda capai umur persaraan minimum yang ditetapkan atau mengikut permohonan penyimpan sepertimana syarat-syarat dibawah pelbagai Skim Pengeluaran KWSP. Apabila wang KWSP dikeluarkan, anda perlu menunaikan zakat KWSP tanpa menunggu tempoh haul setahun.

CARA PENGIRAAN

Cara Pengiraan Zakat KWSP

Mudah sahaja cara kira zakat KWSP. Berikut cara kira zakat KWSP untuk panduan anda:

Jumlah Wang KWSP Dikeluarkan x 2.5 peratus = Jumlah Zakat

RM50,000 x 2.5 peratus = RM1,250

FATWA MENGENAI KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP)

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman berhubung dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja seperti berikut :

Setelah berbincang Jawatankuasa berpendapat Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala diketahui menurut penyata tahunan cukup nisabnya dan genap haulnya dikeluarkan zakatnya. Oleh kerana menurut peraturan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja seseorang itu tidak boleh mengeluarkan wangnya melainkan bila umur pekerja itu 50 tahun iaitu untuk pengeluaran kadar 1/3 dan kesemuanya bila umur pekerja mencapai 55 tahun. Maka bolehlah dikeluarkan zakatnya pada masa terima wang simpanannya itu dikira dari tarikh mula wang simpanan itu genap haul berserta dengan cukup nisabnya.

Bil. (86) dlm. Agama (KEDAH) P83/3/1/2/3

Bertarikh 11 Februari 1985

NOTA TAMBAHAN

Akaun Fleksibel bagi KWSP dikategorikan sebagai akaun wang simpanan dan ditaksir seperti zakat wang simpanan serta mengikut syarat-syaratnya.

FAQ

Penetapan hukum bahawa tiada pembersihan (تصفية) atau (tasfiyyah) keuntungan pelaburan akaun KWSP bagi mereka yang mempunyai simpanan KWSP sebelum pelaksanaan skim simpanan syariah KWSP.

Jumlah pengeluaran KWSP yang wajib dizakatkan adalah keseluruhannya (pokok + dividen) TANPA perlu diasingkan (tidak perlu pembersihan) pulangan dividen yang tidak patuh syariah. Ini kerana para penyimpan diwajibkan mencarum oleh pihak kerajaan tanpa ada pilihan (ijbari). Penyimpan tidak wajar dibebankan ke atas sesuatu tindakan kerajaan yang di luar kawalan mereka. Namun setelah skim patuh Syariah diperkenalkan, seseorang pencarum yang masih mencarum dengan skim konvensional perlulah membuat pengasingan dividen dengan nilai pokok, hasil dividen perlulah diserahkan kepada Baitulmal untuk dimanfaatkan kepada masyarakat umum.

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Lembaga Zakat Negeri Kedah bertarikh 18 April 2021 menetapkan bagi situasi jika pengeluaran KWSP dilakukan dalam keadaan terpaksa akibat ketiadaan atau terjejasnya sumber pendapatan yang mampu menampung keperluan asasi diri dan tanggungan maka zakat tidak diwajibkan untuk pengeluaran tersebut.

Kira & Tunaikan Zakat
KWSP Sekarang