LZNK DAN AGENSI NUKLEAR MALAYSIA LAKSANA PROJEK RINTIS PADI NMR152 UNTUK PESAWAH ASNAF
ALOR SETAR, 15 November 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bersama Agensi Nuklear Malaysia melaksanakan projek rintis penanaman padi varieti NMR152 yang melibatkan lima peserta Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SMART SBBA) di Gunung Keriang, Daerah Kota Setar.
Projek tersebut melibatkan kawasan seluas 36 relong atau 10.3 hektar bagi Musim Utama MADA 2026/2027. Pelaksanaannya bertujuan mengkaji potensi varieti NMR152, hasil teknologi pembiakbakaan mutasi, dalam meningkatkan hasil padi serta mengurangkan kos input pertanian peserta asnaf.

Penyerahan benih padi disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman. Majlis turut disaksikan oleh delegasi Agensi Nuklear Malaysia serta barisan pengurusan LZNK.
Program merangkumi lawatan ke tapak SMART SBBA Gunung Keriang, diikuti majlis rasmi di Menara Zakat Kedah.
Bagi menjayakan projek rintis ini, Agensi Nuklear Malaysia menyumbangkan 2,000 kilogram benih padi NMR152 dan 22 unit baja tambahan dengan nilai keseluruhan RM7,320. Sumbangan tersebut turut disertai khidmat nasihat teknikal, pemantauan tanaman serta analisis hasil tuaian.

Melalui pelaksanaan dan penilaian projek ini, kedua-dua pihak berhasrat mengenal pasti potensi penggunaan varieti berkenaan untuk meningkatkan produktiviti sawah, sekali gus menyokong usaha menambah pendapatan dan memperkukuh kesejahteraan ekonomi pesawah asnaf.
Sehingga kini, SMART SBBA LZNK melibatkan 101 pesawah asnaf dan 16 operator jentera dengan keseluruhan kawasan usaha seluas 830.61 relong atau 239.03 hektar di Negeri Kedah.
Kerjasama ini memperkukuh usaha LZNK menghubungkan pembangunan asnaf dengan kepakaran penyelidikan dan teknologi pertanian, agar hasil inovasi dapat dimanfaatkan oleh peserta dalam mengusahakan kehidupan yang lebih berdikari.






