Menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan rawatan haemodialisis secara percuma kepada umat Islam khususnya dalam negeri Kedah.
Pusat Haemodialisis Zakat Kedah telah ditubuhkan secara rasminya pada Julai 2011 yang menelan belanja hampir RM1.5 juta dan telah beroperasi dengan sempurna yang boleh memuatkan 18 mesin dialisis dengan kapasiti rawatan yang melibatkan sejumlah 70 pesakit non-hepatitis pada satu-satu masa.
Pada 23 Ogos 2011, Pusat Haemodialisis Zakat Kedah telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah,Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
Secara amnya, haemodialisis merupakan salah satu cara rawatan yang digunakan untuk merawat pesakit buah pinggang. Dianggarkan jumlah pesakit ini semakin bertambah setiap tahun. Pada tahun 2010 sahaja, jumlah kes yang menjalani rawatan haemodialisis di seluruh negara sudah mencecah lebih 20,000 kes.
Antara objektif utama utama Pusat Haemodialisis Zakat Kedah ialah memberikan rawatan secara percuma kepada golongan asnaf miskin khususnya dalam Negeri Kedah. Selain itu, ianya membantu untuk memperbaiki taraf kesihatan asnaf untuk menempuh hidup yang lebih bermakna.
Sepertimana yang kita semua sedia maklum, kos rawatan buah pinggang agak tinggi. Ada di kalangan asnaf yang tidak mampu untuk membiayai kos tersebut. Dengan tertubuhnya Pusat Haemodialisis ini, diharapkan tidak ada lagi pesakit Islam, terutamanya golongan asnaf yang pergi memohon bantuan kepada persatuan yang bukan Islam.
Selain itu, dengan tertubuhnya pusat ini, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kerja kerajaan dalam merawat pesakit buah pinggang.
PENGURUS PUSAT DIALISIS :
NOOR AMALINA BINTI OTHMAN
NO TEL : 013-417 6275
NO TEL PEJABAT : 04-7306275



PUSBA ialah sebuah Pusat Bimbingan Islam, ditubuhkan pada 08 Mac 1998. Kos pembinaan dan perbelanjaan operasinya dibiayai oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah. Pada asalnya PUSBA ditubuhkan bagi menangani gejala murtad dalam kalangan saudara baru dan orang Islam asal sebagai melaksana resolusi supaya diwujudkan sebuah pusat khusus Bagi memberi pendidikan mengenai ajaran Islam terhadap mereka. Walau bagaimanapun, berpunca daripada perubahan dan tuntutan masyarakat semasa, kini PUSBA juga berperanan sebagai pusat menyebar ajaran Islam di kalangan orang bukan Islam dan pusat pengukuhan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan orang Islam khususnya rakyat di Negeri Kedah.
PUSBA beroperasi di sebuah bangunan tiga tingkat bernilai RM3.16 juta di Sungai Petani sejak 1 April 1999. Lokasinya agak strategik untuk peranan yang dipertanggungjawabkan. Terdapat juga keperluan untuk mempertingkatkan operasi berikutan daripada cabaran sosial semasa yang sedang berlaku. Walau bagaimanapun, prasarana asas semasa yang ada di Pusat ini agak terhad bagi menampung peserta yang lebih ramai. Pusat ini hanya menyediakan 16 buah bilik asrama lelaki dan perempuan, 4 buah bilik kuliah, sebuah perpustakaan, dewan serbaguna, dewan makan dan surau (200 jemaah).
Tadbir urus operasi PUSBA diketuai oleh Pengetua yang bertanggungjawab kepada Lembaga Tadbir. Beliau mengetuai dua buah bahagian utama iaitu Bahagian Pentadbiran dan Kewangan dan Bahagian Pendidikan dan Kaunseling.
Sumber kewangan PUSBA adalah sebanyak 2 juta melalui peruntukan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)
1) Perkhidmatan pendidikan asas Islam secara intensif.
2) Perkhidmatan pemulihan dan pemantapan aqidah.
3) Perkhidmatan kaunseling dan bimbingan
1) Untuk memberi pendidikan dan kefahaman kepada saudara-saudara baru mengenai asas-asas Islam.
2) Untuk menyekat dan membendung daripada berlakunya gejala murtad selepas memeluk Islam.
3) Memelihara kesucian akidah, syariah dan akhlak di kalangan saudara baru.
4) Meningkatkan kesedaran rasa ukuwwah islamiah di kalangan saudara baru.
5) Membentuk amalan kehidupan mereka supaya sentiasa berada dalam suasana Islam.
6) Mengwujudkan pendakwah dari kalangan saudara baru.
7) Sebagai satu pusat bagi membantu saudara-saudara baru dari aspek kerohanian, kebajikan, keselamatan dan kehidupan beragama Islam.
1) Menganjur kursus asas kefahaman Islam selama 4 bulan kepada saudara baru dan memberi bimbingan kepada golongan murtad.
2) Menyebarkan Islam dikalangan bukan Islam dan mengukuhkan kefahaman dan penghayatan Islam dikalangan saudara baru khususnya dan masyarakat Islam amnya.
3) Menawarkan program dan aktiviti mengenai kefahaman Islam kepada sasaran tertentu serta semua yang ingin mengetahui dan mempelajarai Islam secara lebih mendalam.
4) Memberi bimbingan dan nasihat kepada bakal-bakal saudara baru dan saudara baru yang telah memeluk Islam tentang kemantapan, kefahaman dan penghayatan Islam.
Piagam pelanggan PUSBA menetapkan agar perkara-perkara berikut dipatuhi untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah efisyen dan memuaskan :-
1) Menyedia prasarana bimbingan dan pendidikan yang sempurna sepanjang tempoh kursus.
2) Memberi bimbingan asas Islam sepanjang tempoh kursus mengikut silibus.
3) Memastikan saudara baharu meningkat kefahaman dalam masa empat bulan.
4) Memastikan pelajar lulus mengikut tahap yang ditetapkan selepas tamat kursus.
5) Menerima peserta daripada pelbagai pihak dan agensi.
6) Menyediakan laporan tahunan lengkap kepada stakeholders pada setiap awal tahun berikutnya.
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bukan sahaja menyediakan program-program kepada lapisan warga emas semata-mata bahkan turut menyediakan program pendidikan kepada pelajar sekolah agama/pondok yang ditanggung sepenuhnya oleh LZNK.
Justeru itu, dengan wujudnya program pendidikan ini, pihak LZNK berharap dapat meningkatkan kemahiran dan prestasi serta bakat pelajar-pelajar yang terpendam dapat diasah dan dicungkil seterusnya mereka ini bakal membawa sinar harapan buat keluarga mereka.



