WAKAF BERPOTENSI PACU EKONOMI MAMPAN UMMAH
6 Mei 2026 – Peranan wakaf dalam membentuk masa depan ekonomi ummah terus menjadi fokus apabila Bengkel Wakaf dan Ekonomi Kitaran dianjurkan bagi membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam terhadap potensinya dalam landskap ekonomi semasa.
Program yang berlangsung di peringkat Wilayah Utara ini menghimpunkan beberapa institusi utama termasuk Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Turut serta ialah para penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar serta Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Bin Othman, dalam ucapannya menegaskan kepentingan memperkasa institusi Islam agar lebih bersedia menghadapi cabaran pembangunan mampan masa kini. Beliau turut menekankan bahawa wakaf mampu menjadi instrumen strategik dalam memperkukuh ekonomi ummah secara berterusan.

Bengkel ini turut menampilkan perkongsian ilmu daripada Dr. Ishkandar Baharin, seorang pengamal ekonomi kitaran, serta Profesor Dr. Amir Shaharuddin, Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, ISRA Institute, INCEIF University. Perbincangan yang dibawakan memberi perspektif baharu dan gambaran jelas mengenai potensi wakaf sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi jangka panjang.

Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap fungsi wakaf, bukan sekadar sebagai amalan kebajikan, tetapi juga sebagai mekanisme penting dalam membangunkan ekonomi yang lebih mampan dan berimpak tinggi.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.





