HLB ISLAMIC DAN LZNK MENYANTUNI ASNAF SERTA MELAWAT PROJEK PEMBANGUNAN
YAN, 9 Mei 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima kunjungan delegasi Jawatankuasa Syariah HLB Islamic dalam satu lawatan penanda aras yang memfokuskan kepada perkongsian pengurusan zakat serta pembangunan asnaf.
Delegasi HLB Islamic diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic, Dafinah Ahmed Hilmi bersama Prof. Datin Dr. Rusni Hassan yang mengetuai Ahli Jawatankuasa Syariah HLB Islamic. Pihak LZNK pula diketuai oleh Hartini Binti Haliza.

Sepanjang lawatan tersebut, delegasi turut berkesempatan menyantuni beberapa keluarga asnaf di sekitar daerah Yan dengan menyampaikan kit makanan serta bantuan wang tunai kepada penerima yang terlibat.
Delegasi kemudiannya dibawa melawat beberapa projek pembangunan asnaf antaranya Kilang Padi Projek Hassan dan Projek Solar Dryer Dome (SDD) di Desa KEDA Sungai Udang. Lawatan itu memberi peluang kepada delegasi untuk melihat secara dekat proses pemprosesan beras serta perkembangan projek keusahawanan asnaf yang dibangunkan oleh LZNK.

Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak selain membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam usaha memperkasa pembangunan ekonomi dan kesejahteraan golongan asnaf.

LZNK turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan berkenaan.




