SENTUHAN UMMAH: PROGRAM ZIARAH ASNAF BAWA SERIBU HARAPAN DI CHANGLUN
KUBANG PASU, 29 April 2026 – Program Sentuhan Ummah yang berlangsung di kariah Masjid Ihya Ulumuddin, Pekan Changlun hari ini memberi gambaran jelas realiti kehidupan golongan asnaf yang berdepan pelbagai cabaran hidup.
Program anjuran Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya menjadi platform mendekati dan memahami sendiri kesulitan yang dihadapi penerima bantuan zakat di daerah Kubang Pasu.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman turut turun padang menziarahi rumah-rumah asnaf, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi dalam memastikan amanah zakat disalurkan dengan penuh tanggungjawab.

Sepanjang program, pelbagai kisah menyentuh hati dizahirkan, termasuk individu yang kehilangan sumber pendapatan akibat masalah kesihatan, keluarga yang tinggal di rumah uzur serta mereka yang gigih membesarkan anak-anak dalam serba kekurangan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Kubang Pasu, Encik Zaharin bin Dato’ Haji Zahari; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu, Encik Yahya bin Mat Khatib; wakil Pejabat Penghulu Mukim Temin, Encik Muhamad Ridzuan bin Ismail; Imam Masjid Ihya Ulumuddin, Ustaz Hasrul bin Hassan serta Penolong Amil, Encik Azim bin Ahmad @ Mohd Nor.
Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) LZNK, Dr. Mohd Faisal bin Mustaffa, Pegawai Zakat Daerah Kubang Pasu, Kapten (B) Abdul Nasir bin Abd Hasan serta pegawai-pegawai LZNK turut bersama menjayakan program berkenaan.

Program ini juga mendapat sokongan daripada wakil-wakil syarikat dan pembayar zakat antaranya wakil Syarikat Gas, Iflix Express, Sabil AgencyNur, Kedai Emas Hairi serta individu pembayar zakat harta yang hadir menyaksikan sendiri impak sumbangan mereka.
Melalui program ini, pelbagai bentuk bantuan disalurkan termasuk bantuan kewangan bulanan, baik pulih kediaman, rawatan dialisis dan sokongan pembangunan diri bagi membantu asnaf meningkatkan taraf hidup.

Menurut pihak penganjur, program seperti ini membuktikan bahawa zakat bukan sekadar disalurkan, tetapi memberi kesan langsung dalam mengubah kehidupan penerima.
“Setiap bantuan yang diberikan bukan hanya memenuhi keperluan asas, tetapi menjadi sumber kekuatan dan harapan baharu kepada asnaf untuk terus bangkit,” menurut kenyataan LZNK.
Program Sentuhan Ummah dilihat sebagai satu usaha berterusan dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan sentiasa terbela, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi dan masyarakat dalam memartabatkan institusi zakat.




