RHB ISLAMIC BANK BERHAD DAN LZNK PERKASA KOMUNITI ASNAF SUNGAI MERBOK
KUALA MUDA | 6 Ogos 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan kerjasama RHB Islamic Bank Berhad telah melaksanakan Projek Sinergi Pembangunan Komuniti Asnaf Qariah Sungai Merbok bernilai RM410,065.50 sebagai usaha memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti asnaf secara menyeluruh.

Program tersebut telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Haji Zakaria bin Othman, serta Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali. Turut hadir ialah barisan pengurusan kedua-dua organisasi, wakil agensi serta pemimpin komuniti setempat.
Sepanjang program berlangsung, beberapa pengisian telah dilaksanakan termasuk penyerahan zakat perniagaan, penyerahan simbolik replika agihan kepada para penerima, bengkel penyelarasan projek, sidang media serta lawatan ke lokasi Projek Ternakan Tiram Sungai Merbok.
Projek Sinergi Pembangunan Komuniti Asnaf Qariah Sungai Merbok memberi tumpuan kepada tiga komponen utama, iaitu Projek Ternakan Tiram Sungai Merbok, Projek Naik Taraf Pusat Tuisyen Komuniti Asnaf Sungai Merbok dan Agihan Peralatan Nelayan Laut. Pelaksanaan projek ini dijangka memberi manfaat kepada peserta asnaf, komuniti nelayan serta pelajar daripada keluarga asnaf, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti secara mampan.

Kerjasama strategik antara LZNK dan RHB Islamic Bank Berhad ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa komuniti asnaf melalui pendekatan pembangunan yang inklusif. Inisiatif ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih berdaya tahan, berdikari dan sejahtera, selaras dengan aspirasi memperkasa pembangunan ummah secara berterusan.






