Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

LZNK & AFFIN ISLAMIC PERKUKUH SINERGI, PERKASA EKONOMI ASNAF

YAN, 9 Ogos 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Affin Islamic Bank Berhad dalam memperkasa ekonomi asnaf menerusi pemanfaatan dana zakat dan wakalah bagi pembangunan sektor pertanian.

Kerjasama tersebut dizahirkan menerusi Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan, Wakalah Agihan Zakat dan Perasmian Loader Crane yang berlangsung di Tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) LZNK, Batu 17, Padang Lumat, Yan.

 

Dalam majlis berkenaan, Affin Islamic menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2025 berjumlah RM150,000, selain RM125,000 melalui Wakalah Agihan Zakat bagi menyokong pembangunan Smart SBBA.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur dan keupayaan operasi pertanian, Affin Islamic turut menyerahkan sebuah Loader Crane bernilai RM318,000 kepada LZNK bagi menyokong pelaksanaan Projek Hassan dalam pembangunan ekosistem padi berasaskan wakaf.

Selain itu, dana wakalah turut dimanfaatkan bagi memperoleh teknologi drone pertanian yang akan memberi manfaat kepada 116 peserta Smart SBBA. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan pengurusan sawah, malah membuka ruang kepada pembangunan kemahiran apabila dua peserta asnaf bakal dilatih sebagai operator drone, sekali gus mewujudkan peluang pendapatan tambahan.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Affin Islamic, Yang Berbahagia Tuan Haji Musa Abdul Malek; Pengerusi Jawatankuasa Shariah Affin Islamic, Yang Berbahagia Associate Professor Dr. Kamaruzaman Noordin; serta Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Yang Berbahagia Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, bersama barisan pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah kedua-dua institusi.

Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa zakat dan wakalah mampu diterjemahkan bukan sekadar dalam bentuk bantuan, tetapi sebagai aset produktif, teknologi, pembangunan kemahiran dan peluang ekonomi yang memberi manfaat berterusan kepada golongan asnaf.

LZNK berharap sinergi bersama Affin Islamic akan terus diperkukuh dalam membangunkan ekosistem pertanian yang mampan, memperkasa keupayaan asnaf serta memperluas impak zakat dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan ummah.

#LZNK #ZakatKedah #AffinIslamic #WakalahZakat #SmartSBBA