LZNK BERSAMA UMAT ISLAM KEDAH SEMARAK SAMBUTAN MAULIDUR RASUL S.A.W.
ALOR SETAR, 25 Ogos 2026 – Suasana penuh kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. menyelubungi Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman apabila umat Islam berhimpun sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026M/1448H.
Majlis tersebut bertambah seri dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah. Turut hadir YAB Menteri Besar Kedah, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah, barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan serta wakil pelbagai agensi.

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut bersama-sama menyemarakkan sambutan berkenaan menerusi kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria Othman bersama pegawai LZNK.

Sambutan kali ini turut menyaksikan pengiktirafan kepada individu yang telah memberikan sumbangan dan khidmat besar kepada agama serta masyarakat.
Sohibul Fadhilah Dato’ Setia Jaya Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah Haji Abdul Halim, DHMS., DSDK., SDK., BCK., JP telah dipilih menerima Anugerah Tokoh Khas Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026M/1448H.
Sementara itu, Tuan Haji Che Ismail Haji Bakar, Imam Masjid Jame’ As-Shahab, Kepala Batas, Kedah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Imam bagi sambutan tahun ini.
Pengiktirafan tersebut menjadi tanda penghargaan terhadap khidmat dan komitmen berterusan kedua-dua tokoh berkenaan dalam menyumbang kepada pembangunan syiar Islam serta kesejahteraan masyarakat.
Sambutan yang bersempena 12 Rabiulawal ini bukan sekadar memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W., malah menjadi ruang untuk masyarakat kembali menghayati sirah, perjuangan dan akhlak Baginda yang sarat dengan nilai kasih sayang, amanah serta kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.
Bagi LZNK, nilai tersebut amat dekat dengan amanah yang digalas setiap hari. Semangat ihsan dan tanggungjawab terhadap sesama insan terus diterjemahkan melalui usaha menyantuni asnaf serta memperkasa kehidupan mereka menerusi manfaat zakat.
Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini terus menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. serta mendorong masyarakat menterjemahkan kecintaan tersebut melalui akhlak, amanah dan kepedulian dalam kehidupan seharian.
Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad.






