Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

JOMEGA 2026: Melangkah ke Menara Gading

24 Ogos 2026 – Tiga hari mungkin kelihatan singkat, namun bagi anak-anak Kedah yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, tempoh tersebut menjadi ruang penting untuk mempersiapkan diri sebelum melangkah lebih jauh meninggalkan keluarga dan tanah air.

Itulah antara matlamat yang dibawa menerusi Program Jom Ke Menara Gading (JOMEGA) 2026 yang bukan sekadar memberi persediaan kepada pelajar untuk memasuki alam universiti, malah membentuk mereka untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar yang membawa nama keluarga, agama dan Negeri Kedah di tempat orang.

Sepanjang program tersebut, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK turut meluangkan masa bersama para pelajar dengan berkongsi pengalaman serta menyampaikan beberapa pesanan sebelum mereka memulakan perjalanan menuntut ilmu.

Menurut beliau, kejayaan di luar negara bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata.

Katanya, ilmu sememangnya penting, namun disiplin, sahsiah, cara membawa diri serta tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan juga perlu sentiasa dijaga.

Hal ini kerana para pelajar berkenaan suatu hari nanti akan kembali ke tanah air dengan membawa ilmu, pengalaman dan kematangan yang diharapkan dapat disumbangkan semula kepada masyarakat.

Majlis penutup JOMEGA 2026 pula telah disempurnakan oleh YB Dato’ Ustaz Mohd Azam bin Abd Samat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah yang turut menyampaikan amanat serta dorongan kepada para pelajar sebelum memulakan perjalanan baharu mereka.

Bagi LZNK, usaha membantu pendidikan tidak terhenti apabila peluang untuk melanjutkan pengajian telah diberikan, sebaliknya anak-anak ini perlu terus dipersiapkan dan dibimbing agar peluang yang diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Hari ini, mereka melangkah pergi untuk menuntut ilmu.

Insya-Allah, suatu hari nanti mereka akan kembali dan menjadi antara mereka yang menyumbang kepada agama, masyarakat dan Negeri Kedah.

Pergilah menuntut ilmu, pulanglah membawa manfaat.