Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

176 PELAJAR KEDAH TERIMA SOKONGAN ZAKAT LANJUT PENGAJIAN KE MESIR DAN JORDAN

ALOR SETAR, 8 September 2026 – Seramai 176 pelajar anak Kedah bakal melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan bagi sesi pengajian tahun 2026 dengan sokongan pendidikan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Daripada jumlah tersebut, seramai 168 pelajar akan melanjutkan pengajian ke Mesir, manakala lapan pelajar akan melanjutkan pengajian ke Jordan. Bagi membantu urusan perjalanan para pelajar, LZNK telah menyalurkan sebanyak RM440,000.00 bagi agihan tiket penerbangan kepada mereka yang terpilih.

Selain itu, seramai 36 pelajar turut menerima tajaan biasiswa penuh daripada LZNK, termasuk bantuan yuran pengajian sebanyak USD1,000 setahun bagi mengikuti pengajian Kuliah Ulum Islamiah di Universiti Al-Azhar.

Majlis Penghantaran Pelajar Kedah ke Mesir Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Seri Mentaloon telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah.

Turut hadir YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, serta pihak-pihak berkaitan yang terus memberikan sokongan terhadap usaha memperkasa pendidikan dan kebajikan anak-anak Kedah.

Inisiatif berkenaan mencerminkan peranan zakat dalam membuka ruang dan peluang pendidikan kepada golongan yang berkelayakan, bukan sahaja melalui bantuan perjalanan, malah turut merangkumi sokongan terhadap kos pendidikan dan pengajian di luar negara.

Bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban para pelajar serta keluarga, sekali gus memberi peluang kepada anak-anak Kedah untuk menimba ilmu, memperluas pengalaman dan membina masa depan yang lebih baik. Dalam amanat kepada para pelajar, mereka turut diseru agar memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaiknya, belajar bersungguh-sungguh serta menjaga nama baik keluarga dan Negeri Kedah sepanjang berada di luar negara.

Pendidikan yang diperoleh diharapkan bukan sekadar membawa kepada kejayaan akademik, tetapi turut melahirkan generasi berilmu yang mampu kembali menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri.

LZNK merakamkan penghargaan kepada seluruh pembayar zakat di Negeri Kedah yang terus menunaikan kewajipan zakat dan bersama-sama menyumbang kepada kelangsungan pelbagai inisiatif kebajikan serta pendidikan. Sumbangan zakat yang ditunaikan bukan sekadar disalurkan dalam bentuk bantuan, malah menjadi sebahagian daripada usaha membuka peluang pendidikan dan membina masa depan anak-anak Kedah.

Semoga seluruh pelajar yang bakal melanjutkan pengajian dipermudahkan perjalanan, diberi kekuatan dalam menuntut ilmu serta memperoleh kejayaan dalam pengajian.

Daripada bumi Kedah, mereka melangkah membawa cita-cita untuk menimba ilmu di perantauan, dan diharapkan suatu hari nanti mereka kembali membawa ilmu, pengalaman serta bakti untuk dimanfaatkan kepada masyarakat dan Negeri Kedah.