Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

MENGGERAKKAN PENDIDIKAN, MEMBINA MASA DEPAN UMMAH

ALOR SETAR, 18 Ogos 2026 – Masa depan pendidikan Islam bukan sekadar bergantung kepada penyediaan ruang pembelajaran, sebaliknya memerlukan penggemblengan seluruh kekuatan umat bagi melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing serta memiliki nilai yang kukuh.

Pandangan tersebut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman ketika tampil sebagai panel dalam Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah 2026 menerusi sesi bertajuk “Cordoba of Kedah 2050: Cabaran & Hala Tuju Pendidikan Berteraskan Islam” yang berlangsung di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau mengetengahkan Sistem Samawi sebagai satu pendekatan yang melihat zakat, wakaf dan infaq bukan sekadar instrumen bantuan, malah sebagai kekuatan yang boleh digerakkan untuk membangunkan sektor pendidikan, memperkasa modal insan serta membina kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, pembangunan pendidikan memerlukan lebih daripada peranan sebuah institusi semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan ekosistem yang saling melengkapi melibatkan sumber kewangan Islam, institusi pendidikan, kepakaran serta sokongan masyarakat bagi memastikan matlamat pendidikan dapat dicapai secara menyeluruh.

Sehubungan itu, aspirasi Cordoba of Kedah dilihat sebagai platform yang mampu menyatukan kekuatan pelbagai pihak dalam membentuk ekosistem pendidikan Islam yang kukuh, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan zaman.

Beliau turut menegaskan bahawa perjalanan menuju Cordoba of Kedah 2050 bukan hanya tertumpu kepada pembangunan pendidikan masa kini, tetapi juga sebagai usaha menyediakan generasi masa depan yang mampu membawa negeri dan ummah ke tahap yang lebih cemerlang.

“Negeri Kita, Kita Bangun” menjadi semangat yang mengiringi usaha tersebut, dengan zakat, wakaf dan infaq terus berperanan sebagai antara pemacu utama pendidikan dan pembangunan ummah.

#LZNK #ZakatKedah #CordobaOfKedah #UniSHAMS #PendidikanIslam