Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

MENYANTUNI DARI RUMAH KE RUMAH, MEMBAWA SINAR BAHARU KEPADA ASNAF YANG DIUJI

LANGKAWI, 13 Julai – Seramai empat orang asnaf telah disantuni menerusi Program Sentuhan Ummah Daerah Langkawi (Ulu Melaka). Program ini bukan sekadar ziarah, malah menjadi medium untuk mendekati kehidupan asnaf, meneliti keadaan sebenar mereka, mengenal pasti keperluan semasa serta menilai bentuk agihan susulan yang bersesuaian bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan mereka.

Program berkenaan diketuai oleh Ketua Pegawai Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Zubir bin Ahmad.

Turut hadir ialah Pegawai Zakat Daerah Langkawi, Ustaz Muhammad bin Mustafa, serta wakil daripada PERKESO, Pejabat Agama Daerah Langkawi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi serta Ahli Jawatankuasa Masjid Ulu Melaka. Kehadiran pelbagai agensi ini mencerminkan kerjasama erat dalam memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus diperkasakan.

Di sebalik setiap pintu yang diketuk, tersimpan pelbagai kisah kehidupan yang penuh dengan cabaran dan ujian. Namun, setiap kunjungan membawa bersama sinar harapan yang lahir daripada amanah zakat yang ditunaikan oleh para pembayar zakat, sekali gus memberi kekuatan kepada asnaf untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Lembaga Zakat Negeri Kedah berharap jalinan kerjasama bersama agensi-agensi berkaitan serta sokongan berterusan daripada para pembayar zakat akan terus menjadi pemangkin dalam memastikan tiada insan yang memerlukan tercicir daripada menerima perhatian dan agihan zakat yang sewajarnya.