LZNK KONGSI PENGALAMAN PERKASA EKONOMI PETANI DI MUZAKARAH 2026
KOTA KINABALU, 21 Julai – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berkongsi pengalaman dalam memperkasa ekonomi petani menerusi pembangunan sektor padi berasaskan wakaf pada Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara (MUZAKARAH) 2026 yang berlangsung di Hilton Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman berkata, institusi zakat bukan sahaja berperanan mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, malah mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk dalam sektor pertanian.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada muzakarah berkenaan yang menghimpunkan ulama, penasihat Syariah, cendekiawan Islam serta pengamal kewangan Islam dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Dalam pembentangannya, beliau mengetengahkan pengalaman LZNK membangunkan sektor padi berasaskan wakaf, termasuk pelaksanaan Projek Hassan Kilang Padi LZNK yang disifatkan sebagai antara usaha strategik institusi zakat dalam membangunkan ekosistem pertanian yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan golongan sasar.
Majlis perasmian MUZAKARAH 2026 telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan.
MUZAKARAH 2026 yang membawa tema “Memperkasa Pematuhan Syariah Dalam Sistem Kewangan Islam” menjadi platform perbincanganmengenai perkembangan semasa industri kewangan Islam di rantau Nusantara.

Penyertaan LZNK dalam muzakarah tersebut mencerminkan komitmen berterusan institusi itu untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, di samping memperkukuh peranan zakat sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah yang mampan.





