LZNK PERKASA TRANSFORMASI PENGURUSAN ZAKAT BERTERASKAN DATA DAN TEKNOLOGI
PULAU PINANG, 17 November 2026 – Transformasi pengurusan zakat bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi, sebaliknya menuntut pemanfaatan data secara strategik bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada golongan asnaf.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman menerusi Forum Memahami 8 Asnaf: Daripada Bantuan Kepada Transformasi sempena Konvensyen Ekonomi Umat Islam Pulau Pinang 2026 (KEUIPP’26) yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.
Forum tersebut turut menampilkan Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai panel, manakala YBrs. Ustaz Hisyam Mohd Radzi bertindak sebagai moderator.

Dalam perkongsian tersebut, Dato’ Syeikh Zakaria menjelaskan perkembangan transformasi pengurusan zakat LZNK yang dimulakan menerusi pelaksanaan aplikasi Zakat On Touch, sekali gus menjadikan data sebagai asas penting dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan zakat.

Pendekatan berkenaan kemudiannya diperkasakan melalui pelaksanaan Dashboard Kutipan dan Agihan Zakat secara masa nyata (real-time), yang membolehkan prestasi kutipan dan agihan dipantau dengan lebih sistematik, pantas serta berasaskan data semasa.
Beliau turut menekankan bahawa data bukan sekadar angka atau laporan, sebaliknya merupakan sumber penting untuk memahami keperluan masyarakat, mengenal pasti ruang penambahbaikan dan menyokong proses membuat keputusan yang lebih tepat.
Melalui pendekatan ini, setiap keputusan pengurusan diharapkan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih berkesan, sekali gus memastikan manfaat zakat dapat disampaikan kepada golongan asnaf secara lebih menyeluruh.






