Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

LZNK, AGROBANK PERKUKUH KERJASAMA SOKONG PEMBANGUNAN PESAWAH ASNAF MELALUI PROJEK SBBA

ALOR SETAR, 16 November 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Agrobank memperkukuh kerjasama dalam usaha membangunkan ekonomi pesawah asnaf menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyokong pembangunan peserta Projek Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA).

MoU tersebut ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, bersama Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank.

Kerjasama ini bertujuan memperluas akses kepada inisiatif kewangan dan sosioekonomi yang bersesuaian untuk pesawah serta bakal pesawah, khususnya dalam memenuhi keperluan modal pada peringkat awal musim penanaman.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pembentangan produk Agro Padi i-Salam oleh Agrobank bagi meneroka kemudahan pembiayaan yang dapat membantu peserta SBBA menampung kos pengeluaran pertanian, termasuk pembelian benih, baja dan racun, sewaan jentera serta kos operasi sehingga musim menuai.

Menerusi model kerjasama yang dibincangkan, LZNK akan mengenal pasti peserta yang memenuhi kriteria sebelum permohonan pembiayaan dikemukakan kepada Agrobank untuk penilaian lanjut. Pelaksanaan inisiatif ini tertakluk kepada penilaian kelayakan serta perbincangan dan persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Bagi memastikan kemudahan pembiayaan dimanfaatkan secara terancang, pengurusan modal peserta akan dikawal selia oleh LZNK melalui pembekalan input pertanian dan pengurusan keperluan projek tanpa penyerahan wang tunai secara langsung kepada peserta.

Pendekatan ini diharap dapat memastikan penggunaan pembiayaan lebih terarah kepada keperluan sebenar pertanian, di samping membentuk disiplin pengurusan kewangan serta meningkatkan keupayaan peserta mengusahakan sawah secara lebih sistematik dan berdikari.

Kerjasama strategik ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan ekonomi asnaf melalui pendekatan yang lebih mampan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pesawah dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan modal dari semasa ke semasa.

LZNK merakamkan penghargaan kepada Agrobank atas kesediaan menjalin kerjasama dalam memperkasa ekonomi asnaf. Semoga usaha ini memberikan manfaat berpanjangan kepada peserta SBBA serta menyumbang kepada peningkatan taraf hidup keluarga pesawah di negeri Kedah.