Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

LZNK PERKASA PENGETAHUAN WARGA KERJA BERHUBUNG PELAKSANAAN ZAKAT SIMPANAN SHARIAH KWSP

ALOR SETAR, 16 November 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah mengadakan satu sesi taklimat berkaitan pelaksanaan zakat bagi akaun Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada warga kerjanya bagi meningkatkan pemahaman mengenai kaedah pelaksanaan dan pembayaran zakat berkenaan.

Taklimat tersebut merupakan sebahagian daripada siri jelajah penerangan oleh pihak KWSP berkaitan pelaksanaan pembayaran zakat oleh pendeposit KWSP, yang turut memberi peluang kepada warga kerja LZNK untuk mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai perkara tersebut.

Sesi taklimat menampilkan Ustaz Muhammad Ameen Kamaruzaman, Penolong Pengurus Besar, Seksyen Perkhidmatan Syariah KWSP dan Mohamad Zaidi bin Azizan, Ketua Pegawai Kutipan LZNK.

Melalui sesi penerangan dan perbincangan tersebut, warga kerja LZNK berpeluang mendalami pelaksanaan zakat Simpanan Shariah KWSP, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka dalam memberikan maklumat dan menjawab pertanyaan masyarakat, khususnya dalam kalangan pencarum KWSP, dengan lebih tepat dan yakin.

Selain taklimat kepada warga kerja, perkongsian berkaitan perkara ini turut diperluaskan kepada masyarakat umum menerusi siaran langsung di akaun TikTok rasmi Zakat Kedah pada jam 11.30 pagi, bersempena Bulan Zakat Negeri Kedah 2026.

Penganjuran sesi ini diharap dapat memperkukuh pengetahuan warga kerja LZNK dalam memberikan penerangan berkaitan zakat Simpanan Shariah KWSP, di samping membantu masyarakat memahami kaedah pembayaran zakat berkenaan dengan lebih jelas.