LZNK BEYOND BORDERS: KEDAH ON THE GLOBAL MAP
KEDAH, 14 Sept — Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) terus memperluas perkongsian pengalaman dan inovasi dalam pengurusan zakat, wakaf, transformasi digital serta pembangunan asnaf ke peringkat antarabangsa menerusi pendekatan LZNK Beyond Borders: Kedah on the Global Map.
Pendekatan tersebut diketengahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman menerusi Ucaptama Kedua bertajuk “LZNK Beyond Borders: Kedah on the Global Map” pada The 4th International Conference on Zakat, Tax, Waqf & Economic Development (ZAWED) 2026.

Program berkenaan turut dihadiri YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), selain para ilmuwan, penggubal dasar, pemain industri serta wakil institusi zakat dan wakaf.

Konsep ‘Beyond Borders’ bukan sekadar membawa nama Kedah ke peringkat antarabangsa, sebaliknya memberi penekanan terhadap perkongsian ilmu, sistem dan pengalaman yang dibangunkan di Kedah agar dapat dikembangkan serta disesuaikan sebagai penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat yang lebih luas.
Pendekatan tersebut turut menekankan bahawa ukuran sebenar sesuatu inisiatif adalah berdasarkan impak yang dihasilkan kepada masyarakat, khususnya dalam menyelesaikan permasalahan sebenar yang dihadapi.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Projek Hassan, iaitu ekosistem pertanian padi berasaskan wakaf yang dibangunkan berdasarkan realiti petani yang semakin terhimpit dengan sistem sedia ada.
Dengan kutipan wakaf sekitar RM3.6 juta, Projek Hassan membawa pendekatan from welfare to empowerment melalui usaha mengurangkan kos, meningkatkan hasil serta membina perkongsian keuntungan yang lebih adil.
Konsep Kedah on the Global Map juga tidak hanya tertumpu kepada kedudukan atau pengiktirafan nama Kedah di pentas dunia, sebaliknya menekankan sejauh mana manfaat yang dibangunkan dari Kedah mampu disebarluaskan kepada masyarakat di tempat lain.







