37 PESERTA PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN TEKNOLOGI PEMBUATAN BERJAYA DAPAT PEKERJAAN TETAP
KULIM, 10 September 2026 – Seramai 37 daripada 40 peserta Program Latihan Kemahiran Teknologi Pembuatan berjaya memperoleh pekerjaan tetap selepas menamatkan latihan yang dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Maybank Islamic Berhad.
Pencapaian tersebut merupakan antara hasil pelaksanaan Wakalah Agihan Zakat berjumlah RM869,806.58 bagi melaksanakan beberapa program pembangunan sosioekonomi asnaf di Negeri Kedah.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM484,880.00 disalurkan bagi pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Teknologi Pembuatan yang melibatkan 40 peserta. Seramai 37 peserta atau 92.5 peratus daripada keseluruhan peserta berjaya mendapat pekerjaan tetap selepas tamat latihan.
Selain pembangunan kemahiran, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan bidang keusahawanan dalam kalangan asnaf.
Sebanyak RM150,000.00 diperuntukkan kepada tiga peserta Bengkel Jahitan LZNK sebagai modal perniagaan bagi membantu mereka mengembangkan aktiviti keusahawanan masing-masing.
Dalam pada itu, sebanyak RM34,230.00 digunakan bagi menyediakan mesin jahitan kepada 13 peserta daripada empat bengkel, sekali gus memberi peluang kepada peserta menjana pendapatan dari rumah.

Aspek keperluan asas turut diberi perhatian menerusi Program Pusat Agihan Makanan Fakir dan Miskin yang melibatkan 16 buah masjid terpilih di Kuala Muda.
Sebanyak RM200,696.58 diperuntukkan bagi program tersebut, dengan keseluruhan 3,840 kit makanan akan diagihkan dalam tempoh enam bulan kepada penerima yang memerlukan.
Program pada hari ini dimulakan dengan lawatan ke Bengkel Jahitan Daerah Kulim sebelum diteruskan dengan Majlis Perasmian Penyerahan Zakat Wakalah bagi Memperkasa Program Sosioekonomi Asnaf Negeri Kedah yang berlangsung di Kulim Golf & Country Resort.



LZNK diwakili oleh YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, manakala Maybank Islamic Berhad diketuai oleh Encik Mohamad Yasin bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, bersama barisan pengurusan dan pegawai kedua-dua institusi.
Majlis turut menyaksikan penyerahan cek replika projek Wakalah Agihan Zakat serta perasmian penyerahan drone dan lori kepada peserta Usahawan Tani LZNK.


Kerjasama strategik antara LZNK dan Maybank Islamic Berhad ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasa asnaf melalui pendekatan pembangunan sosioekonomi yang bukan sahaja memberi bantuan, malah membuka ruang kepada penerima untuk memperoleh kemahiran, pekerjaan dan peluang menjana pendapatan secara berterusan.
Pendekatan tersebut turut menyokong usaha LZNK dalam membantu asnaf membina kehidupan yang lebih stabil dan seterusnya berusaha untuk keluar daripada kitaran kesusahan.
LZNK merakamkan penghargaan kepada Maybank Islamic Berhad atas kepercayaan dan komitmen dalam bersama-sama menjayakan inisiatif pembangunan sosioekonomi asnaf di Negeri Kedah.
Kerjasama seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dan diperluaskan bagi membuka lebih banyak peluang kepada asnaf untuk berdikari, mengembangkan potensi serta menjadi individu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.







