Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

615 USAHAWAN JAYADIRI LZNK TERIMA TAJAAN PERLINDUNGAN TAKAFUL MENERUSI PROGRAM iTEKAD

Usaha membangunkan ekonomi golongan asnaf bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan modal dan bimbingan keusahawanan, malah turut merangkumi aspek perlindungan bagi memastikan kelangsungan kehidupan mereka sekiranya berdepan risiko yang tidak dijangka.

Menyedari kepentingan tersebut, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) meneruskan komitmen memperkasa usahawan asnaf menerusi penyediaan perlindungan takaful kepada 615 usahawan Jayadiri bimbingan LZNK di bawah Program iTEKAD, dengan keseluruhan tajaan berjumlah RM73,800.00.

Perlindungan yang diberikan selama 12 bulan, bermula 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2027 itu merangkumi manfaat sehingga RM20,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh akibat kemalangan, RM10,000 bagi kategori akibat semula jadi serta manfaat hospital sebanyak RM50, tertakluk kepada terma dan syarat perlindungan.

Majlis Perasmian Program iTEKAD dan Penyerahan Sijil Perlindungan tersebut turut dihadiri oleh Dr. Mohd Faisal bin Mustaffa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) LZNK, bersama Encik Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Family Berhad serta delegasi daripada kedua-dua pihak.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan LZNK dalam memastikan pembangunan usahawan asnaf dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sahaja melalui usaha meningkatkan keupayaan menjana pendapatan dan membina perniagaan, malah turut menyediakan perlindungan ketika berdepan musibah.

Bagi golongan usahawan kecil, kehilangan keupayaan untuk bekerja akibat kemalangan atau masalah kesihatan boleh memberi kesan besar terhadap kelangsungan perniagaan dan kehidupan seluruh keluarga. Justeru, perlindungan takaful ini diharap dapat memberikan sokongan tambahan kepada para usahawan untuk meneruskan usaha membina kehidupan yang lebih stabil dan berdikari.

LZNK merakamkan penghargaan kepada Takaful IKHLAS Family Berhad atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan inisiatif ini demi memperkukuh kesejahteraan serta perlindungan usahawan asnaf di negeri Kedah.

Write a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *