DARI MENARA ZAKAT KE KILANG PADI WAKAF, SINERGI JAWHAR-LZNK DIPERKUKUH
ALOR SETAR, 9 September 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Pengarah JAWHAR, bersama delegasi, hari ini.
Kunjungan yang bermula di Menara Zakat, Alor Setar itu disambut oleh YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, bersama barisan pengurusan dan pegawai LZNK.
Pertemuan tersebut menjadi ruang bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta membincangkan potensi kerjasama dalam aspek pengurusan zakat, wakaf dan pembangunan ekonomi ummah.

Selesai sesi perbincangan, delegasi JAWHAR meneruskan lawatan ke Kilang Padi Wakaf di Yan bagi melihat dengan lebih dekat pelaksanaan ekosistem pertanian yang digerakkan melalui pendekatan berasaskan wakaf.


Lawatan dari bilik perbincangan ke tapak pelaksanaan itu memperlihatkan bahawa zakat dan wakaf bukan sekadar instrumen bantuan, malah berpotensi dikembangkan sebagai pemacu pembangunan aset, pengukuhan ekonomi serta penyampaian manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat.
Pertemuan dan lawatan tersebut turut memperlihatkan nilai sinergi antara kedua-dua institusi apabila kepakaran, pengalaman dan amanah digerakkan bersama bagi memperluas manfaat daripada satu institusi kepada sebuah ekosistem ummah yang lebih menyeluruh.
Semoga kunjungan ini membuka lebih banyak ruang kolaborasi antara JAWHAR dan LZNK, seterusnya memperkukuh tadbir urus, inovasi serta pembangunan zakat dan wakaf yang lebih mampan dan berimpak kepada masyarakat.






