Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

LZNK DAN PNB PERKASA PEMBANGUNAN UMMAH DI PULAU TUBA, LANGKAWI

LANGKAWI, 14 Julai – Majlis Perasmian Projek Pembangunan Ummah di Pulau Tuba telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Al-Wafa, Pulau Tuba, sebagai manifestasi kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi ummah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman bersama Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri bin Ibrahim sebagai simbolik komitmen berterusan kedua-dua organisasi dalam memperkasakan pembangunan masyarakat melalui Dana Wakalah Agihan Zakat PNB.

Menerusi kerjasama tersebut, sebanyak RM304,000.00 telah diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat di Pulau Tuba.

Antara projek yang dilaksanakan ialah Projek Hasilan Keropok Keping dengan peruntukan sebanyak RM50,000.00, Projek Penternakan Ayam berjumlah RM50,000.00 serta Dana Baik Pulih Masjid Al-Wafa sebanyak RM50,000.00. Selain itu, beberapa lagi inisiatif pembangunan ekonomi dan kebajikan turut dilaksanakan bagi memperkasa taraf hidup serta meningkatkan kemandirian komuniti asnaf di Pulau Tuba.

Kerjasama berterusan antara LZNK dan PNB diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi ummah yang mampan serta memperluaskan manfaat kepada lebih ramai golongan asnaf.

LZNK kekal komited mengurus amanah zakat secara telus, berintegriti dan berimpak demi kesejahteraan ummah.