Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

17 SYARIKAT KORPORAT SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM28.3 JUTA KEPADA LZNK

PETALING JAYA, 23 NOVEMBER 2026 – Sebanyak 17 syarikat korporat telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM28,313,577.70 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sempena Majlis Apresiasi Rakan Strategik LZNK 2026 yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya.

Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah, yang mewakili KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman. Turut berangkat ialah DYAM Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah.

Penyerahan zakat perniagaan ini mencerminkan kepercayaan dan komitmen berterusan sektor korporat dalam menyokong usaha LZNK memperkukuh pengurusan serta agihan zakat kepada golongan asnaf di seluruh negeri Kedah.

Sehingga 23 November 2026, LZNK telah merekodkan kutipan zakat sebanyak RM252 juta, manakala jumlah agihan yang telah disalurkan mencecah RM340.3 juta bagi memenuhi pelbagai keperluan dan kebajikan golongan asnaf.

Dalam majlis yang sama, DYTM Raja Muda Kedah turut menyempurnakan pelancaran Aplikasi Chatbot Amil AI LZNK sebagai satu inisiatif pendigitalan perkhidmatan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan zakat dan perkhidmatan LZNK dengan lebih pantas dan mudah.

LZNK merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat, pewakaf dan rakan strategik atas kepercayaan serta sokongan berterusan dalam menjayakan agenda pengurusan dan agihan zakat. Kerjasama ini amat penting bagi memastikan manfaat zakat terus disampaikan kepada golongan yang memerlukan, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan dan taraf kehidupan masyarakat.

 

Write a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *