LZNK TERIMA PENGHARGAAN SULTAN KEDAH ATAS KERJASAMA PEMBANGUNAN ASRAMA UniSHAMS
KUALA KETIL – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima penghargaan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, atas kerjasama dalam pembangunan asrama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
Penghargaan tersebut dizahirkan menerusi titah Baginda sempena Istiadat Konvokesyen UniSHAMS Kali Ke-28 yang berlangsung pada 1 hingga 3 November 2026 di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, UniSHAMS.



Turut hadir pada istiadat berkenaan ialah YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, bagi meraikan kejayaan para graduan serta menyaksikan istiadat konvokesyen tersebut.


Penghargaan yang dizahirkan oleh Baginda merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap komitmen LZNK dalam menyokong pembangunan pendidikan, khususnya melalui penyediaan kemudahan yang dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Usaha ini mencerminkan peranan zakat yang bukan sahaja berfungsi membantu golongan yang memerlukan, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan dan pembentukan masa depan generasi pewaris ummah.
Melalui amanah yang ditunaikan oleh para pembayar zakat, LZNK terus komited memastikan dana zakat disalurkan kepada inisiatif yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, termasuk dalam memperluas peluang pendidikan.
LZNK merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah atas penghargaan yang telah dizahirkan.
LZNK turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pembayar zakat atas kepercayaan dan sokongan berterusan dalam memastikan zakat yang ditunaikan bukan sahaja menyantuni kehidupan golongan memerlukan, malah turut menyumbang kepada pembangunan dan masa depan generasi pewaris ummah.







