Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

LZNK TEKANKAN KEPENTINGAN PENYELIDIKAN BERIMPAK DALAM MENYELESAIKAN ISU MASYARAKAT

KUALA LUMPUR, 2 November – Kepentingan penyelidikan akademik yang mampu menghasilkan penyelesaian terhadap permasalahan sebenar masyarakat menjadi antara perkara yang ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, ketika menyampaikan ucaptama sempena Islamic Studies Research Week di Universiti Malaya.

Dalam ucaptama tersebut, beliau membangkitkan persoalan mengenai sejauh mana kajian dan teori yang dihasilkan dalam bidang akademik mampu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Beliau turut menjelaskan bahawa zakat merupakan instrumen yang menghubungkan kehidupan dua kelompok masyarakat yang berbeza. Meskipun pembayar zakat mungkin tidak mengenali keluarga asnaf yang menerima manfaat, sumbangan melalui zakat membolehkan rezeki disalurkan kepada golongan yang memerlukan sekali gus membuka peluang kepada kehidupan yang lebih baik.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyelidikan tidak seharusnya terhad kepada penghasilan tesis dan jurnal semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada penilaian impak serta keupayaan menghasilkan penyelesaian terhadap permasalahan sebenar di lapangan, khususnya dalam pengurusan institusi zakat.

Komitmen tersebut selari dengan usaha LZNK sejak tahun 2018 dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan realiti pengurusan zakat, antaranya melalui kerjasama penyelidikan bersama Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Usaha ini mencerminkan kepentingan memastikan hasil penyelidikan bukan sekadar diterbitkan sebagai bahan rujukan akademik, tetapi turut diterjemahkan kepada tindakan yang mampu menyelesaikan permasalahan dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

LZNK merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaya atas jemputan serta ruang perkongsian yang diberikan dalam program tersebut.

Write a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *