LZNK DAN KUMPULAN FGV PERKUKUH PEMBANGUNAN ASNAF MELALUI TAJAAN PENDIDIKAN RM255,000
ALOR SETAR, 28 Oktober 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) terus memperkukuh usaha pembangunan asnaf melalui pendidikan menerusi tajaan berjumlah RM255,000 kepada 20 penerima terpilih di KHTP Skills Centre hasil wakalah agihan zakat Kumpulan FGV.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Wakalah Agihan Zakat Kumpulan FGV Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Dato’ Sheikh Mahmood Naim, Aras 1.

Dalam majlis berkenaan, Kumpulan FGV menunaikan zakat perniagaan kepada LZNK berjumlah RM245,765.00 bagi tahun 2026. Majlis turut menyaksikan penyerahan tajaan pendidikan berjumlah RM255,000.00 bagi menyokong pembelajaran dan pembangunan diri 20 penerima terpilih.

Majlis telah dirasmikan oleh Puan Nurul Muhaniza Hanafi, Pengarah Urusan Kumpulan FGV. Turut hadir ialah Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, dan Puan Aida binti Zainol Abidin, Pengarah Eksekutif Kulim Hi-Tech Park Skills Centre.


Hadir bersama ialah Puan Rohana binti Abu Bakar, Pengarah Wilayah FELDA, Wilayah Alor Setar, dan Tuan Fisal Abdul Aziz, Ketua Peneroka FELDA Wilayah Alor Setar, serta barisan pegawai LZNK, delegasi FGV dan tetamu jemputan.
Tajaan pendidikan ini diharap dapat membantu para penerima memberikan tumpuan kepada pembelajaran, menguasai kemahiran serta meningkatkan persediaan untuk memasuki alam pekerjaan. Usaha ini juga membuka ruang kepada golongan asnaf untuk membina kehidupan yang lebih berdikari dan meningkatkan keupayaan menyara diri serta keluarga.
Kerjasama antara LZNK dan Kumpulan FGV ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan asnaf melalui pendidikan dan kemahiran, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka pada masa hadapan.
LZNK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan FGV atas komitmen menunaikan zakat perniagaan serta menyokong pembangunan pendidikan asnaf. Semoga tajaan yang disalurkan menjadi pemangkin kepada kejayaan para penerima dalam membina masa depan yang lebih baik.






