Skip to main content

LZNK – Portal Rasmi

LZNK LANCAR BUKU PANDUAN ASAS MUALLAF, PERKASA BIMBINGAN SAUDARA BAHARU

ALOR SETAR, 24 Oktober 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melancarkan Buku Panduan Asas Muallaf: Penyesuaian Identiti Seorang Muslim sebagai usaha memperkukuh bimbingan dan pembangunan saudara baharu dalam memahami serta menghayati ajaran Islam.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, bersempena Program Ijtimak Muallaf Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Insaniah, Kompleks LZNK, pada 24 Oktober 2026.

Buku panduan berkenaan merupakan hasil penulisan Profesor Madya Dr. Mohd Nizho bersama pasukan penyelidiknya menerusi geran penyelidikan LZNK di bawah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ).

Penerbitan ini menyediakan bahan rujukan bagi membantu saudara baharu memahami asas agama, melaksanakan ibadah serta menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim. Panduan tersebut juga diharap dapat meningkatkan keyakinan mereka dalam mengamalkan ajaran Islam dan mengekalkan istiqamah dalam kehidupan seharian.

Inisiatif yang dilaksanakan melalui Divisyen Pembangunan Muallaf dan Dakwah Sosial LZNK ini mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam memastikan pembangunan saudara baharu diberikan perhatian secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek kebajikan, malah merangkumi pendidikan dan pengukuhan kefahaman agama.

Usaha ini turut memperlihatkan peranan penyelidikan dalam menghasilkan bahan ilmiah yang dapat dimanfaatkan secara langsung bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dalam mendukung proses pembelajaran dan penyesuaian saudara baharu terhadap kehidupan berlandaskan Islam.

LZNK berharap penerbitan buku panduan ini dapat menjadi sumber rujukan yang bermanfaat dalam membantu saudara baharu membina kefahaman agama yang kukuh, menghayati ajaran Islam dan meneruskan kehidupan sebagai Muslim dengan penuh keyakinan.