LZNK TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI BIBD, KONGSI PENDEKATAN PENGURUSAN ZAKAT DAN PEMBANGUNAN ASNAF
ALOR SETAR, KEDAH – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berbesar hati menerima kunjungan delegasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bagi berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan pendekatan pengurusan zakat serta pembangunan asnaf di Negeri Kedah.
Kunjungan tersebut disambut oleh YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK.

Delegasi BIBD diketuai oleh Yang Berusaha Ustazah Hajah Noraini binti Haji Buntar, Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, serta Yang Berusaha Awang Zulhransa bin Emran, Head of Government Relations & Special Projects (GRSP), BIBD merangkap Managing Director & CEO, BIBD Management & Services, bersama delegasi.
Antara perkara yang menjadi tumpuan dalam pertemuan tersebut ialah Projek Hassan, sebuah ekosistem pertanian padi berasaskan wakaf yang sedang dibangunkan di Kedah.
Perkongsian turut merangkumi aspek pembangunan komuniti asnaf, tadbir urus serta pemantauan projek bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat berterusan kepada golongan sasaran.
Perbincangan ini turut menekankan kepentingan menggerakkan dana zakat bukan sahaja bagi memenuhi keperluan semasa, malah sebagai instrumen pembangunan yang mampu membuka peluang, membina keupayaan dan membantu asnaf keluar daripada kitaran kesusahan.

Pendekatan tersebut mencerminkan kepentingan pengurusan zakat yang menyeluruh, merangkumi aspek kutipan, agihan dan pembangunan sosioekonomi ummah secara mampan.
Walaupun Brunei dan Kedah mempunyai pendekatan serta pengalaman yang berbeza, matlamat dalam memperkukuh kesejahteraan ummah melalui pengurusan zakat yang berkesan kekal menjadi keutamaan bersama.
Semoga kunjungan ini menjadi permulaan kepada perkongsian ilmu, pertukaran pengalaman dan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua pihak, sekali gus
memperluas manfaat pengurusan zakat dan pembangunan asnaf merentas sempadan.







