PERWIRA BERZAKAT, UMMAH BERKAT: LZNK SALUR WAKALAH ZAKAT PENDAPATAN KEPADA KEM ATM DI KEDAH
SUNGAI PETANI, 30 Ogos 2026 – Perwira bukan sahaja berdiri di barisan hadapan dalam mempertahankan keamanan negara, malah turut memainkan peranan dalam menjaga kesejahteraan ummah melalui pelaksanaan tanggungjawab berzakat.
Di sebalik uniform dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara, warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memikul tanggungjawab untuk berkongsi rezeki dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui zakat.
Menerusi Program “Perwira Berzakat, Ummah Berkat”, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyalurkan RM83,497.62 Wakalah Zakat Pendapatan Tahun 2025 kepada kem-kem ATM di Kedah.

Jumlah tersebut merupakan agihan semula sebanyak satu per lapan daripada keseluruhan RM667,980.97 zakat pendapatan yang ditunaikan oleh warga ATM kepada LZNK sepanjang tahun 2025.
Wakalah berkenaan disalurkan bagi menyokong pelaksanaan program kerohanian dan kebajikan warga tentera, sekali gus memastikan sebahagian daripada zakat yang ditunaikan dapat dikembalikan untuk memberi manfaat kepada komuniti mereka sendiri.
Program yang berlangsung di Dewan Zainal, Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani itu turut menghimpunkan kira-kira 400 anggota ATM. Program berkenaan juga diisi dengan taklimat zakat pendapatan bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai kewajipan serta kaedah pembayaran zakat.


Turut hadir Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohd Rashidi bin Bujai, Ketua Pengarah Bahagian Kerohanian Islam ATM, dan Dato’ Syeikh Haji Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK.


Kerjasama ini memperlihatkan bahawa peranan seorang perwira bukan sahaja untuk menjaga keamanan negara, malah melalui zakat, mereka turut menyumbang kepada usaha membina kebajikan dan kesejahteraan ummah.
Mereka menjaga keamanan kita. Melalui zakat, mereka turut menjaga kebajikan sesama kita.





